Monday, November 14, 2011

Vikingdom filem terbaru KRU



Selepas mencatatkan kejayaan yang membanggakan menerusi filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), KRU Studios kini bersedia untuk mencipta satu lagi sejarah menerusi filem terbaru mereka, Vikingdom.

Diterbitkan dengan usaha sama anak syarikat KRU Studios, Epic Pictures yang berpangkalan di Beverly Hills, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Vikingdom bakal dibintangi oleh pelakon antarabangsa yang masih dalam proses pemilihan.

Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim menjelaskan, skrip filem yang ditulis oleh penulis lakon layar dari AS, James Coine itu kini di peringkat terakhir sebelum ia menjalani penggambaran sekitar penghujung tahun ini.

"Walaupun skripnya belum disiapkan sepenuhnya, Vikingdom sudah pun mendapat perhatian beberapa pihak. Malah, mereka juga telah menyatakan persetujuan untuk mengedarkan filem ini di negara masing-masing terutama negara sekitar Eropah dan AS.

"Sesungguhnya kejayaan awal ini amat menggembirakan kami dan rekod yang telah dicipta oleh HMM membuatkan kami lebih bersemangat untuk membawa filem ini ke serata dunia.

"Vikingdom juga menyaksikan buat pertama kalinya bereksperimentasi dengan teknologi stereoskopik 3D yang sebelum ini pernah digunakan dalam filem Avatar," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat KRU Studios di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Epic Pictures, Patrick Ewald dan pengarah filem Vikingdom, Yusry Abdul Halim.

Dalam majlis itu juga, Norman memberitahu, senarai barisan pelakon dan kos penerbitan keseluruhan filem itu akan diumumkan pada Festival Filem Cannes yang bakal berlangsung pada 11 hingga 22 Mei ini di Perancis.

Bukan itu sahaja, demi membawa Vikingdom ke peringkat antarabangsa, ia akan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa pengantar.

No comments:

Post a Comment